Adakalanya kita diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Adakala sukar, adakala ujian itu terlalu manis hingga kita terleka baik buruknya.
Cinta umpamanya.. Sesuatu yang sungguh misteri. Sangat manis.. Tapi adakalanya sangat menyakitkan. Namun andai berlandaskan syariat, cinta itu pasti kekal tersergam utuh tidak goyang bila diuji. Andai sahaja yang wanita nya tahu batas pergaulan, tahu menjaga auratnya, suaranya, liuk gemalainya... Andai sahaja yang jejaka nya tahu batas dosa di mana, lemahnya iman wanita, bijak mengawal keadaan.. Mana mungkin kerosakan mampu berlaku. Apalagi dalam perhubungan teruna dara bila syaitan sering menghasut untuk ke arah maksiat. Apalagi dalam sebuah keluarga yang telah dibina atas nama Tuhan yang Maha Agung, yang mana sentiasa menjadi landasan syaitan bermain dengan api, menggugat keimanan hingga tergerak dalam diri hendak menggegar Arasy.
Meski dilitupi dengan sebuah tabir persahabatan, perlu juga ada batas di situ. Yang sah perlu dijaga, yang tidak boleh perlu dipelihara. Jangan sampai Tuhan menghukum dengan sesuatu yang kemudian kita sendiri kesali.
Mungkin ada yang berpendapat, mereka sudah tidak sehaluan.. Tetapi siapakah kita untuk menentukan masa depan itu? Sekiranya perhubungan itu mendatangkan mudarat, maka wajar sekali mendapat pembelaan. Namun andai ujiannya berupa kebebasan yang tertahan, nah, cuba fikirkan berapa banyak pahala boleh dikutip jika kita redha dan sentiasa bersyukur.
Andai dari mulanya dia sudah kita terima sebagai teman hidup, segala baik dan buruknya pasti kita sanggup hadapi. Dan pastinya kita sanggup lakukan apa sahaja demi dia yang dikasihi. Itulah namanya pengorbanan demi sebuah cinta. Tiada percintaan yang lebih indah melainkan adanya pengorbanan.
Pengorbanan melawan hawa nafsu antara teruna dara.. Pastinya lebih manis percintaan mereka bila cinta dimeterai dalam ikatan akad yang sah. Pengorbanan suami mencari nafkah untuk keluarga, pastinya hubungan kekeluargaan lebih manis bila semua ahli tahu menghargai jerih perihnya. Pengorbanan seorang isteri mengandungkan dan melahirkan zuriat, pastinya lebih manis bila rumahtangga dibina dihiasi dengan gelak tawa si kecil.
Namun yang aneh, walau dengan segala pengorbanan ada juga yang tersasar. Adakah sudah hilang rasa syukur di situ? Adakah hilang rasa malu di situ? Adakah si makhluk kecil yang jahat itu telah mula berkampung dalam diri di situ? Tepuk dada tanya diri. Adakah kita semakin jauh dari rahmatNya ataupun kita sendiri yang menjauhkan diri.
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan...
No comments:
Post a Comment