Pages

Thursday, April 15, 2010

Manjanya Si Kecil..

Mendengar si kecil memanggil.. "Mammi.. Mammi.. Mii.. Ammi.." alahai sayang.. lembut suaranya memanggil diriku.. lemah rasa diri ini, tersenyum mendengar kata halus si kecil. dan bijak juga dia menggunakan kata-kata itu, bila mummy menutur, "Jangan buat tu." dengan wajah tidak bersalah, "Mammi.. Mii" dengan senyum manisnya.. aduhh.. hilang rasa geram, berganti rasa kasih, alangkah bahagia rasa hati seorang ibu dengan keletah manja si kecil yang sentiasa comel pada matanya.

Tambah lagi bila daddy pulang dari kerja, si kecil lantas bergegas menuju ke pintu, hendak turun ke tangga.. dan memanggil, "tu.. didi.. dii, tu, didi" sambil menunjukkan pintu bawah, menandakan dia tahu bahawa daddy sudah pulang. Dan betapa bahagia hati seorang isteri, bila suami turut tersenyum melihat si kecil menyambut kepulangan daddy dengan kata-kata, "didi!" bahagianya menjadi wanita!

Oh ya, anak kecil ku sudah menginjak 1 tahun 4 bulan. Sudah pandai berjalan, sudah pandai berlari, sudah ada keinginan sendiri. Keinginan apa? "BASIKAL" setiap kali nampak abang kakak berbasikal, dia akan menunjukkan jari, dan berkata, "tu!" Si kecil yang suka dengan pujian, setiap kali nampak kapal terbang melintas, dia akan menunjuk ke langit, dan membuat bunyi kapal terbang, "Emmmmm..." tambah pula langit Brussels ini jarang sekali lengang dari kapal terbang.

Sering hati ini bagai tersiat, bila ada juga ibu yang sanggup membuang benih keturunannya, tanpa belas kasihan. ada yang meninggalkan anak kecil di tempat terbuang, dengan harapan agar ada orang akan menyelamatkannya, tapi bukan si ibu. tatkala anak kecil itu menangis merintih, sejukkah dia, laparkah dia, namun tanpa pandangan kedua si ibu hanya berlalu begitu sahaja, alangkah tidak berperikemanusiaan wanita itu! zalim! sedangkan ramai pasangan suami isteri yang menginginkan anak, namun masih belum punyai rezeki, golongan ini makin kerap menjadi-jadi membuang rezeki yang dikurnai Allah kepada mereka.

mungkin mereka tidak sedar, membuang rezeki itu menambah dosa besar mereka. sedangkan kasih sayang Allah amatlah luas, Dia mengurniakan juga anak pada pasangan berdosa ini sebagai cubaan, adakah mereka bertaubat atau tidak, atau mungkin jugak si ibu ini sudah menyesal, dan anak yang terhasil dari perbuatan haram itu adalah peluang anugerah dari Allah untuk membasuh dosa silam. seharusnya si ibu yang sudah menyesal ini berfikir bahawa anak yang lahir itu adalah peluang menebus dosanya, bukan menambah masalah.

bila difikir-fikirkan, hati makin terluka! Na'uzubillah!

Ya Allah, peliharalah keluargaku dan keluarga sahabat-sahabatku daripada jenayah dosa besar ini...