Kenapa penulisan ku kali ini sangat sedih? Diri ini sangat perlu meluahkan rasa yang tersimpan, yang jauh disemat di lubuk hati. Semoga dapat menyuraikan kesulitan dalam dada, semoga beroleh semula kekuatan yang entah di mana bersembunyi.
Sendiri di perantauan, Allah saja yang tahu betapa sukarnya perasaan ini untuk digambarkan. Sendiri maksudku hanya kami sekeluarga. Perlu kekuatan iman agar diri kekal kuat, perlu kekuatan mental dan semangat untuk mengharung kehidupan anak perantau bersama suami dan anak, jauh dari keutuhan keluarga di tanahair. Tambahan lagi diri ini sedang membawa satu lagi zuriat, yang moga-moga diharapkan dapat menjadi penyambung generasi yang bermanfaat, dan bersama bergandingan dengan abangnya dalam memelihara keluhuran kasih sayang ibu dan bapa mereka.
Mungkin, kerana itulah jua emosi ini mudah berkocak. Sedikit kegusaran mampu bertukar menjadi badai yang merosak ketenangan jiwa. Sukarnya perasaan ini ditafsir, apa kehendak, apa keperluan.
Diri menerima perkhabaran, orang yang dinanti mungkin tidak akan bersama tika ku perlu sokongan kelak. Berita ini hakikatnya sudah lama diterima, dan memang dalam jangkaan, semua pihak sama-sama memahami situasi sebenar. Aku tidak berhak untuk rasa tamak. Kerana mereka juga ada tanggungjawab besar di sana. Ada pihak yang masih muda, perlu sentiasa diberi semangat dan dorongan. Namun walau seribu kali penjelasan dibuat, beribu kata semangat ditiup pada hati, air mata masih gagal dibendung dari mengalir, tidak mampu jua diri ini menahan. Tiba-tiba terasa sunyi, dan sendirian.
Kedua-dua pihak di sana punya amanah penting yang perlu didahulukan, dan aku memang tidak patut meminta mereka hadir bersamaku di sini. Lagi pula ini pengalaman ku yang kedua kali. Di sana amanah itu unik, datang sekali ini, dan besar ertinya untuk masa depan. Satu pihak lagi masih punya tanggungjawab yang masih kecil, yang wajib ditatang di bahu mereka. Ah, aku tidak harus berfikiran sempit begini.
Mengapakah hati ini terasa goyah? Mungkinkah aku bimbang dengan pelbagai kemungkinan yang mungkin ternyata jauh dari andaian? Semua ini hanya mainan perasaan, aku tahu itu. Hendak ku suarakan pada kekasih hati, pasti dia akan rasa susah. Pasti menganggu rutin hariannya. Maafkan diri ini kekasihku, diri ini hanya mahu ruang dan waktu untuk memujuk diri sendiri dan menabahkan hati. Bukan maksud enggan berbicara, aku enggan andai bicara itu kelak bersulam air mata.
Ya, memang aku angkuh. Enggan si dia melihat air mata ini jatuh, lagi. Diri ini ingin membuktikan, dia ini kuat dan teguh semangatnya, cekal walau berjauhan, walaupun dalam hatinya bergolak seribu rasa. Aku ibu yang angkuh juga, enggan anak kecil melihat betapa ibunya sukar untuk berdikari sendiri, mahu si anak kecil melihat, ibunya lah tempat berpaut yang kukuh. Aku juga anak yang angkuh, enggan melihatkan kesukaran hati kepada orang tua, selalu berlagak tenang dan tenteram, agar mereka tidak pernah merasa bimbang dengan diri ini. Aku juga kakak yang angkuh, enggan mengakui kegoyahan hati, enggan mengakui kelemahan diri, mahu membuktikan kakak mereka layak dicontohi. Egonya aku.
Tapi malam ini, saat ini, aku tewas seketika. Terhanyut dengan perasaan sendiri.
Tersentak seketika bila anak kecil merengek mahu ditepuk tidur semula. Sang suami yang tadinya nyenyak dibuai mimpi, terjaga dari lena lantas memujuk. Pasti si dia terlihat aku sibuk di papan kunci ini. Segera ku menyeka sisa air mata yang bergenang, dan mengerling sambil menghulurkan senyuman.
Aku harus kuat.. ternyata tamat penulisan ini, aku rasa sedikit tenang. Semoga dijauhkan prasangka dalam diri ini, dan semoga pagi esok aku beroleh senyuman ikhlas dari hati yang benar-benar tenang.
Aku mohon padaMu yang Rabb, beri daku kekuatan, aku mohon semangat, semoga dijauhkan dari tipu daya dan rasa was-was.
Selamat malam semua, terima kasih kerana sudi mendengar bisikan ini..
No comments:
Post a Comment