Pages

Wednesday, September 8, 2010

Warga Kita Warga 'Prihatin'

Kadang-kadang terasa lucu bila difikirkan, orang kita ternyata sering mengambil berat tentang rakan taulan, jiran sebelah rumah, hatta makcik yang bekerja di pasar malam. adik yang rajin belajar pun selalu juga menjadi perhatian, tak kurang juga yang tidak berapa menyerlah. Walaupun diri kita tak se'gah' mana, walaupun kita kadang-kadang tertanya, adakah tiada siapa yang sudi mengambil berat tentang diri ini? Jangan sekali-kali risau, pasti ada yang suka mengambil tahu diri kita, dan mereka ini tergolong dalam kalangan warga yang 'sangat prihatin'.

Namun, ada kalanya keprihatinan yang ditunjukkan itu tidak mendatangkan rasa segar dalam hati, malah menjadi duri pun ada juga. Ada juga yang sering merasa bosan, terutamanya kata-kata prihatin yang selalunya menjadi pertanyaan ramai orang, hingga diri kita kadang-kala wujud persoalan aneh.. 'eh, makcik sana baru aje tanya soalan yang sama, pakcik ni pun tanya soalan yang sama. apa wavelength minda diorang ni sama ye? sama channel ye?' bila disebut soalan tipikal ini, kita pasti sudah masak, bahkan terlalu 'masak' mendengar. sabar sajalah wahai hati..

Bila yang masih single.. terutamanya anak dara mencecah 30-an malah ada yang seawal 20-an, dan anak teruna mencecah 30-an.

'Eh, sorang lagi? takkan lah tak de yang sangkut..'
'Jangan memilih sangat.. tak elok..'

Bila baru mula berteman. Bercinta-cinta la katakan...

'Oh.. ini ke orangnya.. kerja mana? orang mana?'
'Jangan cinta lama sangat.. Ikat cepat-cepat, nanti melepas..'

Bila baru bertunang.. Darah panas la katakan..

'Berapa hantaran kahwin nanti?'
'Jangan tunang lama-lama.. Tak elok..'

Bila sudah menikah. Pengantin baru la kan.. Baru nak merapatkan hubungan suami-isteri.. Terutamanya selepas 3 bulan nikah.

'Dah berisi belum...'
'Jangan honeymoon lama sangat.. kena ada anak cepat-cepat.. kalau tak suami lari'

Bila dah ada seorang cahayamata.. Ibu dan ayah rasa gembira, akhirnya dapat jugak seorang selepas lama menanti..

'Bila nak tambah lagi satu?'
'Jangan tunggu lama sangat, kesian dia takde kawan..'

Bila dah tambah lagi seorang, sama jantina pulak dengan anak yang sulung.

'Bagilah cukup sepasang, dah dapat dua boy, tambah la sorang girl..'
'Masa muda ni lah elok tambah lagi sorang. Jangan tunggu lama sangat, nanti susah nak lekat'

Bila anak-anak dah besar, dah masuk sekolah.

'Dapat nombor berapa dalam kelas?'
'Jangan bagi dia banyak main.. Kena suruh dia belajar..'

Bila anak-anak dah besar panjang, bujang trang tang tang..

'Anak sambung belajar ke atau dah kerja?'
'Jangan hantar dekat kolej biasa.. hantar la dekat tempat yang bagus sikit..'

Bila anak-anak dah mula berkarier..

'Anak kerja dekat mana? Gaji sebulan berapa?'
'Bila nak dapat menantu.. pesan dekat dia, jangan tunggu lama-lama.. nanti lambat you timang cucu..'

Bila anak-anak menyatakan hasrat untuk berkahwin..

'Haa. elok la tu.. Kawan dia tu asal mana? Kerja kat mana?'
'Bak sini tengok gambar kawan anak you tu.. handsome tak?/ Cantik tak?'

Bila anak-anak sudah menikah..

'Eh, anak menantu you takde isi lagi ke? Awat susah sangat nak lekat?'
'Jangan tunggu lama-lama you.. You kena timang cucu cepat-cepat.. best ada cucu ni..'

Bila anak-anak sudah punya cahayamata..

'Oh.. dah ada cucu dah. Baru seorang... hmmmmmmmmmmmmmmm.... (panjang hmm nya)'
'Suruh la anak menantu you tu tambah lagi.. biar beranak lagi.. ramai sikit cucu you. Bila raya mestilagi meriah..'

Dan seterusnya lah tuan-tuan, puan-puan, cik-cik, adik-adik.. ternyata warga kita memang sentiasa mengambil berat tentang apa yang berlaku di sekeliling, meskipun kadang-kala tidak mendatangkan kepentingan kepada yang bertanya, tetapi cukup mendatangkan kepuasan pada penanya.. dan selalunya yang 'terasa'.. terasa seronok, ataupun terasa tertekan.. adalah individu yang ditanyakan soalan. Tapi apapun, saya tetap rasa bersyukur, kerana saya juga berada di golongan yang sering mendapat perhatian dari orang-orang prihatin ini..

Semua yang ditulis adalah berdasarkan pemerhatian dari pengalaman sendiri dan juga kisah teman-teman. Tiada niat untuk menyinggung sesiapapun, dan sekiranya ada yang terkena.. mohon halal dari hujung rambut ke hujung kaki.. mohon maaf atas segalanya.. tambah pula kita bakal menyambut satu Syawal tak lama lagi.. maka ikhlaskan diri untuk memaafkan, dan sambunglah semula ikatan silaturrahim yang 'terlonggar' sesama kita. Pasti ramai di kalangan teman-teman akan menjadi perhatian dari golongan yang prihatin ini terutamanya yang akan balik beraya di kampung halaman.. Apa yang kita boleh buat? Sabar sajalah... yang rasa, kita sendiri.. rahsia hati, siapa tahu..

Salam aidilfitri!

No comments: