Pages

Saturday, April 21, 2012

Kurang Dari Sebulan

Hari ini, 7 Mei 2012. Tak lama lagi 1 Jun 2012. Cepatnya masa berlalu. Rupa-rupanya sudah lebih 3 tahun aku berada di perantauan. Dari asalnya datang bertiga, ketika itu hanyalah aku, suami dan anak yang baru menginjak 3 bulan usianya, kini sudah berempat; aku, suami, anak yang sudah lebih 3 tahun, dan seorang lagi anak kecil sudah berusia setahun dua hari.

Teringat lagi aku betapa gementar rasa hati ketika mula-mula sampai dahulu. Pertama kali merasa hidup di luar negara, menaiki kapal terbang melebihi 12 jam penerbangan, merasai suasana musim sejuk ketika itu, bagaimana hendak berhadapan dengan warga kita di luar negara. Oh, kenangan pelbagai kenangan, ada yang mencuit hati, ada juga yang lebih baik saya tidak nyatakan di sini.

Selama tiga tahun ini banyak benda banyak perkara saya pelajari. Ya, hidup ibarat satu ujikaji yang besar, kita diberi pelbagai cabaran yang akhirnya akan membuahkan hasil sekiranya kita tahu cara untuk berhadapan dengan cabaran itu. Sebaliknya bagi individu yang sentiasa negatif, cabaran yang datang selalunya dipersepsikan sebagai satu bentuk kesusahan yang besar.

Daripada asalnya seorang yang tidak pandai memasak, (setakat masak nasi, goreng telur, masak air, masak maggi, boleh la), saya bersyukur atas kelapangan masa saya dapat berlatih memasak. Walaupun masakanku tidak sehebat masakan chef, atau setanding kuih apam resepi bonda yang menjadi kegemaranku, atau ikan pari masak kuah lada resepi bonda mertuaku yang menjadi kegemaran sang suami, sekurang-kurangnya masih dapat melepaskan rindu pada masakan Malaysia.

Kalau dulu hidup di Malaysia dalam rumah kami hanya ada aku dan suami, dan anak dalam kandungan, kali ini sekembali kami ke tanahair, akan ada tambahan putera dan puteri penyeri rumahtangga. Sudah pastilah keperluan harian akan bertukar, dan aku harus lebih cekap kerana kali ini aku akan kembali bekerja semula.

Bila ku kenang ku fikir kembali, hanya beberapa minggu sahaja dapat aku meluangkan masa bersama anak-anak, sebelum dilanda kesibukan dunia yang sebelun ini menjadi kehidupanku semasa di Malaysia, kurang lebih 4 tahun lepas. Si abang seperti ada jauh hati pada ibunya kerana melebihkan si adik yang ketika ini kurang sihat. Oh ya, si kecik tengahari tadi baru sahaja di discaj dari wad hospital. Semalam ditahan di wad untuk dimasukkan I.V drip dan pemantauan. Kata doktor paed, mungkin kerana teething, nak tumbuh gigi.  maka si kecik demam, cirit birit, muntah dan tiada selera makan. Bila timbang berat, beratnya menyusut. Dek atas alasan itu la perlu dimasukkan air dengan I.V. drip, bimbang jika dia mengalami dehidrasi, lagipun bacaan B.P dia agak rendah, dan mukanya pucat. Alhamdulillah menjelang malam dia semakin aktif, dan selera makan bertambah.

Tapi si abang berjauh hati, kerana semalam kata suami dia menangis marahkan doktor kerana mummy dan adik tak boleh balik rumah. Dia berkeras nak mummy dan adik balik rumah. Pagi tadi semasa adik masih di wad, si abang enggan mencium mummy seperti kebiasaannya, apa marahkah si abang? Merajukkah dia kerana mummy seperti nak jaga adik aje? Terkesan di hati bila di tanya, 'Abang Umair sayang mummy? Mummy tu sayang abang Umair.' Tau tak apa respon dari si mulut lincah tu? 'Abang Umair tak nak sayang mummy, mummy sayang Dana aje'. Aduh, terasa menitik air mata ini.

Takpela sayang sedikit demi sedikit sayang akan faham jugak, adik kurang sihat. Sebab tu mummy kena ada prioriti. Mummy tak tinggalkan abang Umair, mummy sayang abang Umair. Adik tu bila tak sihat dia nak bolot mummy saja. Cemburu bila nampak mummy peluk abang dia. Marah bila mummy peluk abang dia. Tapi mummy kan selalu peluk abang Umair, selalu cium abang Umair. Selalu main dengan abang Umair.

Apapun anak-anak ni perlu dijaga hati mereka. Dan dalam masa yang terhad ini aku perlu lebih beri perhatian pada mereka, dan perlahan-lahan menerangkan situasi yang akan berlaku bulan hadapan. Oh dah kurang sebulan lagi ke?

Allahu, semoga diberi kekuatan hati dalam menghadi ketidakpastian yang akan menjelma, semoga diberkati kehidupan keluarga kami, semoga dilindungi kesejahteraan anak-anak kami, dan semoga dirahmati kasih sayang sesama kami suami isteri, anak-beranak, sekeluarga, aminnn.