Pages

Thursday, February 9, 2012

'Puan Dewi pergi gym ke?' - Part 2

Maka bila berat badan saya tidak bertambah, sudah pastilah ada sesuatu yang membantu. Saya mula berangan-angan boleh tak saya kurangkan sekilo semasa musim hari raya itu, (hakikatnya tiada pengurangan pun).

Sekembalinya saya ke Brussels, saya teruskan apa yang telah saya lakukan sebelum balik ke Malaysia, yang membantu saya menghilangkan lebih dari 15kg dalam masa 4 bulan (selepas bersalin), secara perlahan dan konsisten. Apa saya lakukan?

Saya amalkan bila bangun awal pagi saya terus minum air masak sebagai alas perut. Saya juga mengambil sarapan pagi secara konsisten. Sarapan saya selalunya semangkuk cereal dengan susu segar, mudah dan cepat. Kalau tidak pun saya makan nasi goreng dan telur mata, dan segelas air masak.

Kemudian, saya luangkan masa bermain dengan anak-anak sebelum menyediakan masakan tengahari. Ada kalanya saya menjamah biskut beberapa keping, dan kadang kala coklat beberapa potong, ais krim secalong, yakult sebotol, anggur beberapa genggam, keropok setengah peket besar, chips, macam-macam lagi yang mana sempat dicapai (kesimpulannya, saya makan bila saya lapar). Bila dah makan secara automatik terbit dalam hati rasa bersalah, bimbang berat naik pulak. Sangatlah tidak konsisten di situ.

Selesai memasak, barulah saya sambung mengemas bilik dan mengambil kesempatan refreshen up, sambil menunggu waktu solat Zohor. Jika berkelapangan saya mengambil kesempatan untuk menggosok kemeja kerja suami. Teringat satu dialog bila suami bersembang katanya ada kawan menegur baju suami seperti dihantar ke kedai dobi. Syukur Alhamdulillah, baju yang dipakai itu sebenarnya diuruskan oleh saya sendiri, *wink*

Selepas waktu makan tengahari, saya khususkan waktu playtime bersama anak-anak. Semasa playtime ni saya kerap juga minum air, yelah dahaga. Dan kerap menjamah snek yang mana senang dicapai, sambil sambil melayan keletah anak-anak yang juga suka makan snek. (Untuk anak-anak saya fokuskan snek ringan, seperti biskut mentega, pisang, anggur, dan kadang-kala snek istimewa cupcake buatan sendiri) Oh ya, saya juga menyusukan anak dengan kerap, dan ketika ini, anak saya masih lagi fully breastfeed tapi saya dah berikan solid food.

Waktu petang ketika masa napping anak-anak saya dedikasikan untuk uruskan laundry pakaian. Sesekali saya turun ke bilik laundry untuk masukkan baju dalam mesin basuh, pindahkan dalam pengering pakaian, dan bawa naik ke living room untuk dilipat. Kadang kala saya selesaikan bakul pakaian yang perlukan cucian tangan. Kemudian diikuti waktu makan malam dan masa bermain dengan anak-anak sambil melipat pakaian. Maka bila waktunya saya pergi ke gym?

Hujung tahun lepas, ketika musim sejuk belum mencecah bawah sifar, ada beberapa kali saya menyertai aerobik anjuran Persatuan Wanita di Kedutaan ini. Ketika itu berat saya sudah mulai berkurangan beberapa kilo, dan yang membuat saya terus bersemangat untuk kurus adalah respon kebanyakan ahli persatuan yang nampak pengurangan berat itu. Dalam masa sebulan selepas balik dari Malaysia, berat saya ketika itu (awal November) menyusut 3kg. Selepas 2 bulan, menyusut lagi 3kg. Awal tahun ini berat terkini saya 54kg. Sekarang? 51kg. Ahh, lagi beberapa kilogram untuk saya mendapatkan berat seperti ketika hari pertama saya menjadi seorang 'puan'.

Saya tidak pasti samada saya boleh memberi nilai atau respon saintifik pada ikhtiar pengurusan berat badan saya, tetapi kerana saya sudah mencubanya sedikit sebanyak saya rasakan mungkin telah membantu menyumbang kepada berat badan ideal. Saya sudah meng'usha' produk ini lebih dua tahun, iaitu semenjak tahun 2009. Saya minta kebenaran encik suami untuk bagi saya cuba produk ini dulu, sebab tak mahal, dan sepanjang itu juga la saya baca banyak testimonial yang cukup menggalakkan. Pada awalnya saya agak 'sceptical', yelah, berkesan ke? Dalam keadaan saya ketika itu agak 'terkesan' dengan masalah berat berlebihan ini, saya bertekad untuk mencuba segala ikhtiar, tetapi seboleh-bolehnya saya tak nak mengambil produk yang memerlukan diet kurang makan, atau minum jus tertentu, atau mengambil pil tertentu, sebab khuatir andai boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti susu untuk anak.

Saya sekarang sedang menggunakan produk korset Zirana dan Hot Cream Dr Johnson. Saya mula menggunakan produk ini pada bulan September tahun lepas. Kalau mengikut aturan pemakaiannya, krim itu perlu disapukan pada bahagian yang bermasalah seperti perut, lengan, peha, dan punggung sebanyak dua kali sehari, dan memakai korset Zirana seluruhnya.

Minggu pertama saya sangat cukup bersemangat memakai korset Zirana lengkap semua set dan menyapu krim dua kali sehari, selepas mandi pagi, dan sebelum solat isyak. Dan memang krim itu seperti yang ditulis dalam review, memang 'panas' sampai ke petang! Seperti menyapu minyak angin di badan, kalau disapu di bahagian belakang badan hingga ke punggung, memang terasa cukup selesa, dan oh ya, produk ini juga sangat sesuai digunakan oleh ibu yang sedang berpantang dan menyusukan anak. Tambah pula kalau kita melakukan sedikit sit-up, memang terasa hangat di bahagian perut. Tak lama, amalan menjadi semakin perlahan, pemakaian krim sekali sehari, lama-kelamaan seminggu beberapa kali. (hehe) Paling mengujakan bila berat badan saya tidak bertambah walaupun ketika itu sudah musim hari raya minggu ketiga!

Selepas balik semula ke Brussels, saya ditegur suami, 'ha, pakai tak krim tu? beli banyak dah'. Kantoi pulak saya ada skip menggunakan krim. Maka saya teruskan menggunakan krim itu, walaupun kadangkala dalam seminggu ada tiga hari sahaja saya sapu. Dan korset juga saya jarang pakai semua set sekali. (hajat nak bajet kalau satu part dah dipakai, ada back up part lain) Sehinggalah ke hari ini, penyapuan krim masih tidak konsisten.

Tetapi apa yang saya hendak fokus di sini, walaupun saya tidak konsisten memakai krim, dan saya tidak memakai set dengan lengkap, berat badan saya masih boleh turun! (Andaikata saya lebih disiplin, pasti saya boleh kurang lebih banyak dalam tempoh lebih singkat) Selepas 4 bulan memakai produk berkenaan, saya sudah hilang 10kg. Syukur sangat, cuma kelemahannya kurang berkesan untuk menghilangkan kesan jalur 'stretch mark'. Mungkin selepas ini saya akan cari maklumat mengenai produk khusus untuk mengurangkan 'stretch mark' pula. Zirana seperti dalam bacaan saya terdahulu juga punya jaringan FIR, tetapi saya tidak pasti kebaikannya. Sebelum ini hajat di hati hendak mencuba Premium Beautiful kerana melalui hasil bacaan keberkesanannya lebih diyakini, tetapi oleh kerana kos Zirana dan krim panas lebih ekonomi, saya memilih untuk Zirana, dan setakat ini saya berpuas hati.

Oh ya, apa yang ada dalam satu set pakaian dalam Zirana? Ada sehelai singlet, sehelai seluar 'kecik', sehelai tight sampai 2/3 peha, dua sarung untuk dipakai pada lengan atau boleh juga untuk betis. Saiz sesuai untuk berat dari 50-100kg. Dalam satu kotak Hot Cream Dr. Johnson ada sebotol krim panas, kalau pakai ikut aturan mencukupi untuk seminggu (tetapi saya pakai untuk 2 minggu, sekarang sebotol untuk sebulan, hehe), dan ada sebotol kecil krim vitamin C untuk digunakan bagi bahagian yang menggeleber selepas susut.

Dan ini adalah gambar saya pada September 2011 dan gambar terkini Februari 2012. Doakan agar saya berjaya susutkan lagi 5kg!

*Untuk maklumat lanjut, sila tinggalkan komen!



No comments: