Pages

Thursday, May 3, 2012

Murah Hati dan Rezeki

Terkesan seketika dengan kisah seorang sahabat, kini sedang sarat mengandung, kerana terlalu mengidamkan nasi ambeng, lantas mendail nombor pembekal nasi ambeng yang menyediakan khidmat penghantaran, namun hampa apabila dimaklumkan perkhidmatan mereka tidak menyusuri kawasan tempat tinggal sahabat ini, dan ada pula jumlah minimum untuk melayakkan penghantaran ke alamat yang diberi. Maka pasrahlah sang sahabat mungkin ini bukan rezekinya. Selang beberapa ketika dia menerima panggilan meminta alamat untuk penghantaran nasi ambeng. Betapa gembiranya tidak terkata pabila tiga bungkus nasi ambeng dihantar oleh syarikat tersebut. Hingga menitik air mata bila nasi itu diterima. Syukur Alhamdulillah besarnya nikmat Tuhan, betapa murahnya hati penjual nasi berkenaan.

Maka ingin saya mencoret sepatah dua tentang ikhlas dan kemurahan rezeki ini. Mungkin apa yang berlaku cuma sekadar kebetulan, mungkin juga sudah begitu takdir tertulis. Namun yang pasti kita semua yakin dan setuju, perbuatan baik pasti dibalas dengan kebaikan, dan perbuatan jahat pasti dibalas dengan kejahatan, kalau bukan di dunia ini, di akhirat kelak.

Teringat suatu ketika diri ini sarat mengandung, terlalu mengidam akan sesuatu makanan biasanya mudah diperolehi di Malaysia. Masya Allah, betapa tak tertahan serasa ingin sahaja menangis kerana tidak dapat yang diidam. Maka redha dan pasrah sajalah diri ini, andai itu bukan rezeki diri. Suatu hari minggu, kami sekeluarga berjalan melawat satu pekan yang letaknya lebih kurang sejam perjalanan menaiki kereta. Hajat suami hendak belanja makan sambil bersiar-siar. Agaknya sedang.cuba memujuk ibu mengandung yang mengidam sesuatu yang sukar diperoleh di negara orang. Seronok juga jalan-jalan makan angin, membeli keperluan baby, keperluan mummy, shopping baju.. Kebetulan bertemu dengan rakan Malaysia yang tinggal di situ, selepas beberapa ketika kami berpecah membawa haluan masing-masing, kemudian mengambil kesempatan pakat untuk singgah minum petang di salah sebuah restoran sambil berbual-bual. Apabila hendak pulang ke rumah, saya dikejutkan dengan dua peket makanan yang menjadi hajat mengidam saya! Wah terasa hendak melompat kegembiraan ketika itu! Bergenang airmata ketika menerima bingkisan itu.

Itu cerita dua tahun lepas. Rakan ini yang sudah berkeluarga, punya dua cahayamata, ketika itu memang hendak menimang lagi cahayamata ketiga, tetapi belum punya rezeki. Nah siapa tahu, tahun ini teman itu kini berbadan dua! Alhamdulillah, mungkin sekali rezeki itu adalah ganjaran dariNya kerana ikhlas menyampaikan hajat orang yang mengidam, ikhlas membantu, mungkin tidak cepat, tetapi sesuai dengan keadaan dan situasi semasa.

Seorang lagi teman, saya kira ceritanya lebih kurang sama seperti teman yang menitip bingkisan tersebut. Tapi yang ini memang didatangkan khas dari Malaysia. Saya kira dalam kesibukan jadual kerja, dan tarikh penerbangan yang semakin hampir, beliau sanggup bersusah payah mendapatkan saya makanan yang saya hajatkan. Saya terima lantas ketika itu jugalah saya memeluk dan menitik air mata kegembiraan! Kata suami bercahaya wajah saya ketika itu. Alhamdulillah kini beliau sangat bahagia di sisi suami dan seorang cahayamata yang sangat comel.

Walau apapun kebetulannya, saya tetap yakin bahawa atas kemurahan hati mereka itu maka Dia memberi mereka rezeki yang tidak terhingga nilainya. Hanya Dia sahaja tahu nilai ikhlas seseorang, dan kita tidak berhak mengatakan sebaliknya. Terpulang padaNya bagaimana rupa bentuk rezeki yang ingin dianugerahkan. Ada yang dapat cepat, ada yang dapat lambat, sesuai dengan apa yang terbaik buat kita ketika itu. Perancangan Allah tak siapa yang tahu, tapi yakinlah perancangan Allah itu yang terbaik. Seperti juga kisah teman saya dengan penjual nasi ambeng itu, semoga Allah sahaja membalas kemurahan hati mereka. Amin.

p.s buat Ummu Mustaqim, semoga dipermudahkan urusan kelahiran bayi anda, dan Ummu Aida Adam, tahniah atas berita tersebut, dan buat Ummu Muhammad, tahniah atas kelahiran cahayamata yang selama ini dinantikan..


No comments: