Pages

Friday, January 27, 2012

'Puan Dewi pergi gym ke?' - Part 1

Salam semua warga internet. Lama sungguh tidak mengemaskinikan laman blog. Bukan niat sengaja menyepi tetapi semenjak punya dua orang penyeri hidup yang penuh dengan keletah manja dan comel ini, agak sukar untuk saya berceloteh di sini. Jadual harian saya memang sentiasa terisi, hatta masa yang terluang pun saya manfaatkan untuk berehat, sambil menambah 'level' dalam permainan online (saya pun perlukan hiburan juga ya). Menguruskan rumahtangga, makan pakai suami, makan pakai anak-anak, keceriaan segala kamar di rumah, dan meluangkan masa untuk bermain sambil mengasuh anak sepenuh masa sudah tentulah memerlukan banyak tenaga dan kesungguhan. Tidak dapat saya bayangkan andai kini saya bekerja, keadaan rumahtangga pasti tidak seteliti ini, walaupun keadaan rumah sekarang bukanlah 100% bebas habuk. Dan pastilah sukar untuk diteruskan penulisan blog ini sekerap sekarang.

Sebelum itu, saya ingin mendedikasi ucapan istimewa buat si dia, terima kasih sayang atas hadiah pra-ulangtahun perkahwinan kita, dua pasang jeans Levi's dan sepasang jeans Wrangler saiz 28 dan 27. (well honey, you were the one who said so.. hihi) Itu adalah saiz seluar jeans yang saya sarungkan sekarang, dan dari material bukan memeri (nonstretchable). Kalau jeans jenis elastik saya berani menyarung saiz 26. Sebelum ini saya hanya yakin memakai jeans Wrangler saiz 31 jenis stretchable, kerana itu yang selesa dipakai, dan itu adalah saiz seluar jeans saya sepanjang tahun 2009-2010, dan juga tahun lepas selepas kelahiran anak kedua saya.

Tahun lepas, semasa Hari Raya Aidilfitri 2011 kami sekeluarga telah kembali bercuti ke Malaysia. Bercuti dalam 4 minggu. Ketika itu si kecil ku Cik Dana baru 4 bulan, si bujang ku Encik Umair pula 2 tahun 10 bulan. Saya ketika itu telahpun susut 'post-pregnancy weight' melebihi15kg, tetapi bentuk dan saiz fizikal luaran saya ketika itu belum cukup untuk memberikan saya keyakinan diri. Pasti ada yang akan terdetik hati untuk berkata, 'Fizikal tak penting, yang penting hati dan niat kita', benar sekali kenyataan tersebut. Tetapi hakikat orang kita bagaimana pula? Yang fizikal itulah yang nampak.

Saya enggan merasa 'down' seperti yang pernah saya alami ketika kembali ke Malaysia dua tahun lepas, beberapa dialog berbunyi 'Apa sudah jadi?' Sampai ke hari ini saya tak lupa peristiwa yang memberikan perasaan kurang enak itu. Buat para gadis di luar sana ya, itu adalah hakikat orang perempuan yang sudah bergelar ibu, pertambahan berat badan adalah sesuatu yang biasa, dan sangat 'common' serta natural. Tetapi dengan usaha dan kehendak, pasti mampu mendapatkan kembali bentuk badan yang diidamkan (Itu fakta! Walaupun dalam hati hendak menerima kenyataan ini sungguh payah dan merealisasikan harapan kurus semula sangatlah mencabar). Hanya segolongan kecil wanita sahaja yang dianugerahkan kelebihan bentuk badan kekal langsing selepas melahirkan anak. (Dan memang saya cukup cemburu dengan golongan ini)

Oleh itu, berkali-kali saya katakan pada diri, 'saya baru 4 bulan selepas melahirkan, bukannya 4 tahun melahirkan, kalau sesudah 4 tahun melahirkan anak, saya masih begini, wajar jugak ayat berkenaan diajukan'. Setiap saat saya berusaha memotivasikan diri agar menerima keadaan diri ketika itu seadanya. Berulangkali juga saya duga diri dengan membayangkan ucapan paling 'sensitif' yang mungkin saya akan terima, dan berlatih respon dengan suara kuat di hadapan cermin agar nampak spontan, tanpa teroles di wajah bahawa saya sedang 'terkesan'. Sebelum tidur juga saya kerap membayangkan 'worst-case scenario', dan menguji apakah saya cukup kuat untuk kekal senyum. Cukup membuatkan hari saya ada yang suram. Kasihan suamiku yang tidak putus memujuk 'takpelah, lama-lama nanti susut jugak. kalau tak susut juga nanti kita pergi la jumpa dietician.' Oh sungguh saya berbesar hati dengan kesanggupan suamiku itu.

Internet memang membantu saya membentuk 'mindset' dengan persiapan mental melalui pelbagai sumber kajian sains mengenai pengurusan berat badan. Saya teliti pelbagai jenis produk kesihatan, produk pelangsingan yang ada di pasaran, kesan jangka pendek dan panjang, begitu juga jenis diet yang terbaik yang tidak akan menjejaskan penghasilan susu. Saya juga membaca pelbagai panduan pemakanan, dan blog individu tertentu yang berjaya langsing dengan produk di pasaran. Saya buka kajian klinikal, testimonial, dan saya teliti kandungan bahan dalam produk berkenaan. Saya juga membuat survey pusat pelansingan badan, teknik yang dilakukan dan diet yang disarankan.

Dua minggu sebelum kembali ke Malaysia saya turut mencuri masa sebelum tidur (rasanya ada dalam 3 malam) untuk melakukan aerobik ringkas 15 minit melalui youtube (oleh kerana saya melahirkan anak secara caesarean, aerobik sebenarnya tidak digalakkan untuk 6 bulan pertama) secara sembunyi di bilik persalinan pakaian (suami saya pun mungkin tidak tahu perkara ini, saya bersenam di bilik persalinan kerana mudah untuk saya menjenguk baby kalau-kalau dia terjaga). Saya berharap agar dapat susut lagi 5-8kg dalam masa kurang dari 2 minggu itu. Namun itu sungguh mustahil dengan jangka masa yang terlalu singkat walhal sudah pun susut melebihi 15kg. (Usaha aerobik ketika itu tidak mendatangkan kesan pun, huhu)

Dengan bantuan teman yang hanya saya kenali di mukabuku selepas beberapa siri perbincangan, (sebenarnya saya yang banyak berkomunikasi melalui facebook sejak 2009 untuk mendapatkan maklumat tentang beberapa produk) saya tawakal melakukan beberapa persiapan, dan selebihnya saya pasrah. Saya meletakkan matlamat jangka pendek saya ketika itu adalah 'balik ni, saya nak lepas rindu makan macam2, tapi saya tak nak berat naik, kalau naik pun maksimum 3kg saja'. (sungguh kontras dan ironik sekali, siap boleh bajet berapa kilo naik!) Saya yang sebelum ini dikenali bertubuh kecil molek, pasti mengundang ke'terperanjat'an sesetengah orang dengan penampilan baru saya ketika itu.

Begitu pun persiapan mental dan fizikal, saya masih juga khuatir, kerana ketika itulah musim 'makan besar'. Musim itulah musim rumah terbuka, musim rendang ayam, musim lontong, musim 'air manis'.. santan, lemak, garam, gula, memang tak pernah lepas dari masakan istimewa orang kita. Namun dalam kekhuatiran itu saya tetap tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah di tanahair, makan di restoran, menikmati kek kegemaran, aiskrim, minum kopi putih.. Suami pun menggalakkan agar saya 'have fun', jangan dengar komen orang, dan dia juga tahu isterinya ini kerinduan dengan makanan Malaysia. Ibu mertua saya berulangkali menasihatkan, 'dewi baru lepas bersalin, biasalah badan kembang sikit. Lagipun baru berapa bulan'. Malah ibu saya pun berkata, 'takdela besar mana pun, yang penting sihat, cucu mama pun sihat'. (sungguh, saya terharu.. sayangnya saya pada insan-insan ini!)

Dalam keadaan mood yang tidak menentu, sekejap cakap nak makan itu ini, sekejap risau berat bertambah, sekejap marah tak tentu pasal, sekejap stress bila teringat beberapa 'statement' pihak tertentu, sekejap seronok sebab tengok lampu waktu malam, sekejap gembira bila shopping mall buka sampai tengah malam; suami menghadiahkan saya kek hari lahir! Dan kek itu adalah kek kegemaran saya! Dan malam itu juga saya menerima kejutan istimewa! Suami saya dan ayah mertua saya keluar waktu malam hari lahir saya (katanya nak membetulkan handphone yang bermasalah). Saya dapat hadiah! Oh saya terharu lagi, terpujuk jugak perasaan turun naik saya (terima kasih sayang atas gajet moden ini, memang sangat berguna dan dewi sangat menghargainya!). Padahal baru beberapa malam sebelum itu suami dan ayah mertua saya berpakat membelikan satu gajet canggih untuk cucu atok yang sulung, anakanda kami.

Dua minggu yang pertama, dengan jemputan undangan rumah terbuka di sana sini, dengan selera makan yang sukar dikawal (saya menyusukan anak, sebab tu agaknya cepat lapar), saya menjangkakan pasti ada pertambahan. Saya benar-benar berharap agar pertambahan itu adalah sedikit, kalau boleh janganlah sampai sekilo. Masuk minggu ketiga, barulah terbit keberanian dalam diri untuk berdiri di atas penimbang. Bagai tidak percaya bila ditimbang seperti tiada pertambahan, dan tiada juga pengurangan! Sampaikan saya anggap penimbang itu bermasalah, tetapi bila dua penimbang saya gunakan, kedua-duanya memberi bacaan yang lebih kurang sama. Petanda bagus.. Nampaknya persediaan awal saya nyata menunjukkan permulaan yang baik.

---bersambung kemudian---

anak-anak penyeri rumahtangga..


No comments: